Pencalonan Kategori A/B Info Darjah Kebesaran Borang (PDF) Manual Pengguna Pegawai Perhubungan Keluar

NOTA DARJAH KEBESARAN DAN BINTANG KEHORMAT NEGERI SABAH

SERI PANGLIMA DARJAH KINABALU (S.P.D.K.)

Lambang Kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) terdiri daripada Kalung, Bintang, Selempang dan Lencana.

Mereka yang dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah, maka pelantikannya itu dengan sendirinya membawa gelaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) walaupun selepas bersara daripada jawatan Yang di-Pertua Negeri.

Mereka yang dianugerahi Seri Panglima Darjah Kinabalu berhak menggunakan gelaran DATUK SERI PANGLIMA pada pangkal namanya sama ada lelaki ataupun wanita. Isteri ahli lelaki bergelar DATIN SERI PANGLIMA. Suami bagi wanita yang menerima darjah ini tidak boleh memakai gelaran DATUK SERI PANGLIMA.

Tanda Darjah Kebesaran S.P.D.K.

1. Kalung

Rantai kalung diperbuat daripada emas. Kalung ini mempunyai tiga belas mata rantai bersambung di antara satu sama lain.

Buah kalung ialah lencana bintang pecah lima yang diperbuat daripada emas. Di tengah-tengah bintang itu ialah bulatan bertulis "SABAH MAJU JAYA" dalam huruf timbul yang diperbuat daripada emas. Di tengah-tengah bulatan itu ialah Lambang Negeri Sabah.

2. Selempang

Kain Selempang darjah ini diperbuat daripada kain sutera dengan jalur-jalur berwarna membujur. Selempang ini mempunyai simpulan pada bahagian bawahnya. Di bawah simpulan inilah digantung sebuah lencana darjah ini.

3. Lencana

Lencana ini diperbuat daripada emas. Di tengah-tengahnya ialah bulatan diperbuat daripada enamel putih bertulis "SABAH MAJU JAYA" dalam tulisan rumi melengkungi Lambang Negeri Sabah.

4. Bintang

Bintang Darjah Kebesaran S.P.D.K. diperbuat daripada emas dan berbentuk bintang pecah lima yang dicanai seperti permata berbaris. Di belakang bintang ialah lencana pecah lima. Di tengah-tengah bintang itu ada bulatan timbul yang diperbuat daripada enamel putih berukir cogan kata "SABAH MAJU JAYA" dalam tulisan rumi melengkungi Lambang Negeri Sabah.
PANGLIMA GEMILANG DARJAH KINABALU (P.G.D.K.)

Panglima Gemilang Darjah Kinabalu ialah Darjah Kebesaran yang kedua tertinggi di negeri Sabah. Darjah Kebesaran ini biasanya dikurniakan kepada seseorang yang berjawatan tinggi dalam apa jua lapangan dan telah menyumbangkan bakti cemerlang kepada kerajaan dan negeri Sabah selama beberapa tahun dengan tanggungjawab dan pengaruh tinggi dan sesuai dengan kedudukannya. Mereka ini menjadi ikutan dalam lapangan perkhidmatan dan perkerjaannya itu untuk kebaikan negeri dan negara.

Mereka yang menerima darjah ini sama ada lelaki ataupun wanita berhak memakai gelaran "DATUK". Manakala isteri lelaki yang menerima darjah ini digelar "DATIN".

Suami bagi sesorang wanita yang menerima darjah ini tidak berhak memakai gelaran "DATUK".

Tanda Darjah Kebesaran P.G.D.K. 

1. Selempang

Kain Selempang darjah ini diperbuat daripada kain sutera dengan jalur-jalur berwarna membujur. Selempang ini mempunyai simpulan pada bahagian bawahnya. Di bawah simpulan inilah digantung sebuah lencana darjah ini.

2. Lencana
Lencana ini diperbuat daripada emas. Di tengah-tengahnya ialah bulatan diperbuat daripada enamel putih bertulis "SABAH MAJU JAYA" dalam tulisan rumi melengkungi Lambang Negeri Sabah.

3. Bintang
Bintang Darjah Kebesaran S.P.D.K. diperbuat daripada emas dan berbentuk bintang pecah lima yang dicanai seperti permata berbaris. Di belakang bintang ialah lencana pecah lima. Di tengah-tengah bintang itu ada bulatan timbul yang diperbuat daripada enamel putih berukir cogan kata "SABAH MAJU JAYA" dalam tulisan rumi melengkungi Lambang Negeri Sabah.
AHLI SETIA DARJAH KINABALU (A.S.D.K.)

Darjah ini ialah kelas ketiga dalam kumpulan Darjah Yang Amat Mulia Kinabalu. Darjah ini dikurniakan kepada mereka yang berkedudukan tinggi dan bertaraf tinggi dalam masyarakat serta telah banyak berjasa kepada negeri Sabah, tetapi belum setaraf dengan P.G.D.K dari segi kedudukan dan pengaruh dalam masyarakat dan juga dari segi sumbangannya itu.

Tidak ada had bilangan bagi pengurniaan darjah ini dan setiap penerimanya tidak berhak menggunakan apa-apa gelaran pada hadapan namanya.

Tanda Darjah A.S.D.K.

1. Sebuah lencana bulat diperbuat daripada perak bersadur emas. Permukaan lencana ini bergelugur seperti permata bersusun.

2. Di tengah-tengah lencana ini terdapat bintang timbul pecah lima diperbuat daripada enamel putih. Lima buah bulan sabit dan bintang kecil pecah lima yang diperbuat daripada logam bersadur emas ditatahkan di antara mata bintang itu.

3. Di tengah-tengah bintang terdapat bulatan berukir dengan cogan kata "SABAH MAJU JAYA". Permukaan bulatan itu ialah enamel putih berbayang dan di dalamnya terdapat lukisan Gunung Kinabalu. Lencana ini digantungkan pada sehelai reben. Kepala lencana ini ialah sebuah gelang yang diperbuat daripada perak. Gelang ini berbentuk dua batang bunga padi. Di tengah-tengah gelang ini terdapat Lambang Negeri Sabah. Pada gelang inilah tempat digantungkan lencana ini pada reben lencana.

AHLI DARJAH KINABALU (A.D.K.)

Darjah ini ialah kelas keempat dalam kumpulan Darjah Yang Amat Mulia Kinabalu. Darjah ini dikurniakan kepada mereka yang berkedudukan dan berjawatan tinggi dan telah banyak berkhidmat kepada negeri Sabah, tetapi khidmatnya dan juga kedudukannya belum memadai untuk diberi darjah yang lebih tinggi. Pengurnian darjah ini tidak tehad jumlahnya.

Tanda Darjah A.D.K.

1. Tanda darjah ini hampir sama dengan tanda darjah A.S.D.K., iaitu sebuah lencana dan reben lencana untuk menggantungkan lencana itu pada leher pemakainya.

2. Perbezaannya ialah lencana A.D.K. tidak bertatah bulan sabit dan bintang kecil pada celah-celah mata bintang besar. Juga pada lencana A.D.K., tidak ada lambang kebesaran yang dilengkapi dengan ukiran bunga padi pada kepala lencana. Lencana ini dipakai pada leher dengan digantung pada sehelai reben.
BINTANG SETIA KINABALU (B.S.K.)

Bintang ini ialah kelas pertama dalam kumpulan Bintang Kinabalu. Bintang ini dikurniakan kepada seseorang yang telah memberikan bakti dengan cemerlang kepada negeri Sabah selama beberapa tahun, lebih daripada kejayaan biasa yang dikehendaki daripadanya, semasa ia menjalankan tanggungjawab yang tidak berapa tinggi taraf kedudukannya dalam masyarakat dan juga dalam pekerjaan. Pengurniaan bintang ini tidak terhad bilangannya.

Tanda Bintang Setia Kinabalu (B.S.K.)

1. Sebuah lencana bulat yang diperbuat daripada perak bersalut emas. Sebelah hadapan lencana ini berukir Lambang Negeri Sabah.

2. Lencana ini digantung pada reben. Di tengah-tengah reben itu tersemat bulan sabit kecil dan bintang kecil pecah lima berwarna keemasan.
BINTANG KINABALU (B.K.)

Bintang ini ialah kelas kedua dalam kumpulan Bintang Kinabalu. Ia dikurniakan kepada seseorang yang telah berjasa kepada negeri Sabah dengan cemerlang dan penuh taat setia dengan kebolehan istimewa dan pekerti yang mulia, termasuk perkhidmatan lama (long services). Pengurniaan bintang ini tidak terhad jumlahnya.

Tanda Bintang Kinabalu (B.K.)

Tanda bintang ini serupa dengan tanda B.S.K., iaitu sebuah lencana yang digantung pada sehelai reben. Rupa lencana serupa dengan tanda B.S.K. Perbezaannya ialah bintang ini tidak disertai dengan bulan sabit dan bintang kecil pecah lima di tengah-tengah rebennya.
PINGAT PERKHIDMATAN TERPUJI

Pingat ini merupakan satu-satunya pengurniaan dalam kumpulan perkhidmatan terpuji. Ia dikurniakan kepada pegawai-pegawai kerajaan peringkat rendah yang telah berkhidmat dengan setianya kepada negeri Sabah tidak kurang daripada 20 tahun berterusan dengan budi pekerti dan berkelakuan baik. Pingat ini juga dikurniakan kepada anggota-anggota angkatan tentera dan polis peringkat rendah dan perkhidmatan berpakaian seragam yang lain yang telah memberikan perkhidmatan terpuji serta cemerlang kepada negeri Sabah, negara dan pasukannya.

Tanda Pingat Perkhidmatan Terpuji

Pingat ini merupakan sebuah lencana perak berbentuk bulat dengan perkataan "Perkhidmatan Terpuji" tertulis di belakangnya. Pingat ini digantung pada sehelai reben.