Pencalonan Kategori A/B Info Darjah Kebesaran Borang (PDF) Manual Pengguna Pegawai Perhubungan Keluar

PENGENALAN

Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Kehormat Negeri Sabah diwujudkan dalam tahun 1963 melalui enakmen bernama "State Honours Enactment 1963 (No. 33 0f 1963)". Pengurniaan pertama kali adalah pada 14 November 1963 bersempena dengan Kemerdekaan Negeri Sabah menerusi pembentukan Persekutuan Malaysia. Pengurniaan pada tahun berikutnya adalah bersempena Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Kehormat dianugerahkan kepada seseorang sebagai menghargai dan mengakui perkhidmatan cemerlang dan sumbangan baktinya kepada negeri ini. Darjah-Darjah Kebesaran juga dianugerahkan kepada Ketua-Ketua Negeri dan Negara serta pemimpin-pemimpin besar negara lain yang bersahabat dengan negeri ini sebagai tanda persahabatan dan ikatan silaturahim di antara negeri ini dengan negeri dan negara yang berkenaan.
Pada umumnya Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Kehormat dianugerahkan kepada rakyat Malaysia. Bukan warganegara Malaysia yang telah memberikan khidmat bakti dengan cemerlangnya kepada negeri ini boleh juga dianugerahi Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Kehormatan, tetapi penganugerahan itu adalah sebagai anugerah kehormat.
Menurut "State Honours Enactment 1963", Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Sabah terbahagi kepada tiga, iaitu:-
1. Darjah Yang Amat Mulia Kinabalu
2. Bintang Kinabalu
3. Pingat Perkhidmatan Terpuji
Pembahagian ini terbahagi kepada beberapa kelas dan susunan taraf. Susunan taraf keutamaannya adalah seperti yang berikut:-

Darjah Yang Amat Mulia Kinabalu
Kelas Satu : Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K)
Kelas Dua : Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K)
Kelas Tiga : Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K)
Kelas Empat : Ahli Darjah Kinbalu (A.D.K)

Bintang Kinabalu
Kelas Satu : Bintang Setia Kinabalu (B.S.K)
Kelas Dua : Bintang Kinabalu (B.K)

Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T)
Sijil Kehormat (S.K)
Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Sabah dinaungi oleh Tuan Yang di-Pertua Negeri Sabah sendiri.